Tuesday, 24 June 2014

Ya, Saya Adalah Cikgu! - Bahagian 2

...Sambungan...

Justeru itu, kita sebagai guru permulaan perlu pandai dan bijak dalam menyesuaikan diri di sekolah. Komunikasi antara kita dengan guru dan pelajar sentiasa diperhatikan. Di sini terdapat beberapa tips yang mungkin boleh digunakan oleh guru permulaan seperti kita untuk menghapi tugas sebagai seorang guru permulaan;

1. Rendah diri
Dalam mana-mana profesion sekalipun, sifat rendah diri harus menjadi amalan bagi mereka yang baru memulakan tugas. Hatta sifat rendah diri ini harus diamalkan walaupun kita sudah berpuluh tahun berkhidmat. Mulakan tugas dengan senyuman. Rajin-rajin lah bertegur sapa. Ringankan mulut bertanya khabar, membina rapport dan rajin membantu dalam melaksanakan tugas. Jangan berat mulut untuk bertanya mengenai apa yang kita tidak faham, namun perhatikan bahasa yang kita gunakan semasa bertanya. Jangan nanti kelihatan seolah-oleh kita kurang ajar semasa bertanya. Perhatikan sikap setiap orang dan bezakan apa yang mereka sukai dan apa yang mereka tidak sukai. Proses membina hubungan ini mengambil masa. Jangan gopoh untuk melabel orang sombong atau tidak. Jika kita konsisten dalam membina hubungan yang baik dengan guru senior, lambat laun mereka akan rapat dengan kita.

2. Hormat guru lama
Hormati mereka yang terlebih dahulu berkhidmat sebagai seorang guru. Mereka lebih banyak pengalaman dan mereka juga telah menempuhi cabaran dan rintangan yang sedang kita hadapi sebagai guru baru. Dengan menghormati mereka, kita akan dapat membina hubungan yang lebih mesra dan ini sedikit sebanyak akan mendorong rakan guru yang lebih berpengalaman ini untuk berkongsi kaedah dan tips untuk menghadapi atau menyelesaikan satu-satu masalah yang sedang kita hadapi. Tidak semua perkara yang sedang dihadapi di sekolah pada masa kini kita pelajari di IPTA semasa mengikuti pendidikan perguruan dahulu. Ingat tu ya, cikgu!

3. Catat
Buku catatan seharusnya menjadi teman rapat kepada guru. Tidak kira samaada guru permulaan atau guru yang berpengalaman. Tidak kira lah samaada buku catatan itu buku 555 ataupun gajet elektronik – ikut kemampuan. Catat, dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara yang perlu dillakukan. Kita akui yang kemampuan minda kita untuk mengingat akan semakin pudar mengikut masa, tambahan pula kerja sebagai guru banyak memerlukan kita untuk mengingat. Dengan buku catatan, kita akan mampu untuk menjadi guru yang terurus dan tersusun. Apabila kerja kemas dan tersusun, ini akan memberikan gambaran kekemasan keperibadian kita sebagai seorang guru. Guru yang kerjanya tersusuan mempunyai aura tersendiri. Aura guru tegas dan kemas akan membuatkan kita akan disegani oleh rakan guru yang lain dan juga para pelajar.

4. Jangan Menangguh kerja
Procrastination. Itu adalah perkataan bahasa inggeris untuk si penangguh kerja. Jauhkan diri dari amalan ini. Kerjaya sebagai seorang guru memerlukan kita untuk menjadi seorang yang menepati waktu, cepat dan multitasking. Kertas kerja, post mortem peperiksaan pelajar, laporan audit koperasi dan banyak lagi tugasan yang menanti. Itu belum lagi ditambah dengan aktiviti kokurikulum yang memerlukan seorang guru untuk mengorbankan masa di waktu cuti untuk datang ke sekolah dan memantau para pelajar menjalankan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika kita bertangguh, bebanan kerja akan bertambah dan akhirnya akan membawa kepada burn-out. Banyak kajian yang menunjukkan bahawa guru tertekan dengan bebanan kerja di sekolah. Salah satu kerja untuk mengelakkan perkara itu berlaku kepada kita adalah – elakkan dari menangguh kerja yang boleh disiapkan segera.

5. Sentiasa Peka

Sebagai guru permulaan, kita masih lagi belum dapat membiasakan diri sepenuhnya dengan keadaan dan situasi di sekolah. Kita perlu sentiasa alert ataupun peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Bila perlu kita serahkan markah pelajar untuk analisis? Bila tarikh hantar laporan penglibatan pelajar dalam kokurikulum? Bila tarikh mesyuarat akademik sekolah? Kita perlu sentiasa ambil tahu perkara itu. Sebab itu lah pentingnya buku catatan. Jang'an jadi guru yang pemalas. Sentiasa bertanya rakan sekerja yang lebih lama, “eh bila ya mesyuarat?”... “eh bila ya....?” selalu bertanya perkara-perkara yang dianggap asas dan remah kepada rakan sekerja yang lebih senior di sekolah akan memberikan tanggapan bahawa kita mengambil sesuatu perkara sebagai tidak serius. Ini juga mungkin akan mendatangkan perasaan tidak senang guru lama terhadap kita. Kalau dah guru lama tak senang dengan kita, macam mana nak bina rapport dengan guru lama? 

Nota Sarjana
25/6/2014

No comments:

Post a Comment