Tuesday, 24 June 2014

Ya, Saya Adalah Cikgu! - Bahagian 1

Tahniah ya, adik-adik di dalam bidang perguruan yang baru menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam aliran pendidikan dan ditempatkan disekolah. Tidak kira lah, samaada dari IPTA dalam atau luar negara. Kerana sekarang anda semua sudah bergelar cikgu. Kita patut bangga, kerana kita sudah memilih bidang pekerjaan yang mulia sebagai sumber mencari rezeki. Melalui bidang pendidikan ini para guru bukan sahaja dapat mencari nafkah, malahan pada masa yang sama para guru dapat berbakti kepada negara dan bangsa. Ini bukan ayat cliche ya ~

Kenapa cliche? Yalah, biasanya ayat berbakti kepada nusa, bangsa, agama dan negara ini hanyalah diluahkan semasa di dalam pertandingan karangan patriotik sahaja. Kalau diucapkan di luar pun, semasa temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dulu kan? Jangan begitu ya adik-adik, ikhlaskan diri anda untuk menjawat jawatan sebagai guru. insyaAllah, kita bukan sahaja akan mendapat mata pencarian hidup, kita juga akan dapat beramal dan beribadat di dalam pekerjaan yang kita ceburi ini.

Apabila sudah bergelar sebagai guru, langkah pertama sebelum kita melaporkan diri untuk bertugas, kita perlu bersiap sedia dari setiap aspek. Sebelum melapor diri, pastikan kita sudah bertingkah laku sebagai seorang guru dari rumah lagi. Cara percakapan, cara komunikasi, cara berpakaian, cara tingkah laku, malahan cara ketawa juga perlu mengikut tata tertib sebagai seorang guru. Eh, ada ke cara ketawa sebagai seorang guru? ada, semestinya ada..guru mesti cantik tingkah lakunya. Mesti sopan tatacara hidupnya mesti sesuai dengan peranan seorang guru sebagai role model kepada anak-anak murid di sekolah.

Pernah dengan pepatah guru kencing berdiri, murid kencing berlari? Mesti pernah kan, cikgu-cikgu sekalian? Tafsiran kepada pepatah ini bukanlah secara harfiah atau literally guru kencing berdiri. Tidak dapat dipastikan kenapa orang-orang terdahulu menggunakan contoh perbuatan membuang air kecil ini di dalam memberikan gambaran bagaimana para pelajar belajar dan mengaplikasi apa yang diajar oleh guru. Pepatah di atas mungkin membawa maksud cikgu hanya mengajar perkara asas, tetapi murid atau pelajar akan menegaplikasikan apa yang dipelajari dan melakukan lebih dari apa yang guru ajarkan. Logik bukan?

Jika di dalam hal kencing (maaf sekiranya perkataan kencing tidak sesuai untuk sesetengah orang – buang air kecil dalam bahasa lembutnya), pelajar akan mempelajari caranya daripada seorang guru (guru mungkin bukan bermaksud guru di sekolah, mungkin dari orang dewasa yang mengajarnya semasa kecil – ahli keluarga mungkin) inikan pula dari segi tingkah laku. Para guru harus sedar ya, guru bukan sahaja mengajar di dalam sekolah. Guru sentiasa mengajar walau di luar kelas. Di dalam kelas guru mengajar secara formal, namun di luar kelas guru mengajar secara tidak formal ataupun secara tidak langsung.

Pelajar atau murid kita adalah pemerhati yang paling baik. Mereka sentiasa memerhatikan bagaimana guru berpakaian, bagaimana guru bercakap, dan bagaimana guru berkomunikasi dengan mereka. Faktor pengajaran secara tidak formal ini akan menentukan samaada kita akan mendapat penghormatan sepatutnya daripada pelajar ataupun tidak. Jika kita menghormati pelajar, kebarangkalian untuk pelajar menghormati kita kembali sebagai seorang guru adalah tinggi. Bak kata pepatah barat what goes around, comes around. Betul bukan?

Setiap sesuatu perkara akan bermula dari bawah. Tidak ada sesuatu perkara pun yang apabila bermula terus berada di atas. Begitu juga dengan kerjaya sebagai seorang guru. apabila sudah ditempatkan di sekolah, kita akan dipanggil sebagai guru permulaan. Saat kita masuk melaporkan diri di sekolah, kita harus sedar bahawa di sekolah tersebut sudah ada guru yang sudah berpuluh tahun pengalaman mengajar. Malahan jika kita kembali mengajar di sekolah lama kita dulu, guru yang pernah mengajar kita pada satu masa dahulu masih ada di situ. Jika dulu kita ke sekolah sebagai pelajarnya, kini kita kesekolah sebagai rakan sejawatan. Kekok bukan?

Kekok atau tidak, perlu kita hadapi kerana ini adalah bidang yang kita pilih. Guru yang mengajar kita, kini menjadi rakan sejawatan dan akan memerhatikan kita dari jauh ~ mungkin masih dari kacamata seorang guru dan bukan sebagai rakan sejawat. Jika kita melakukan kesalahan (orang baru adalah normal jika membuat kesalahan ya) mungkin guru kita dahulu akan menegur kita. Jangan pula kita mudah terasa. Ambil teguran itu sebagai pedoman dan jadikan nasihatnya sebagai panduan. Ingat, anda sebagai guru pernah didedahkan dengan konsep life long learning di IPTA dulu. Jangan malukan IPTA tempat anda menuntut ilmu perguruan dahulu ya..!

No comments:

Post a Comment