Sering kali kita mendengar istilah
ibu tunggal. Ibu tunggal membawa maksud ibu yang membesarkan anak-anak mereka
sendiri hasil dari pernikahan atau perhubungan diantara mereka dengan pasangan
masing-masing secara bersendirian. Namun
bagaimana pula dengan istilah bapa tunggal? Kenapa tidak banyak pihak yang
berbicara dan jauh sekali membela golongan ini sama seperti bagaimana golongan
ibu tunggal? Adakah kerana mereka adalah lelaki yang dikatakan sinonim dengan
golongan yang kuat perkasa dan mampu berdikari dan terus dikatakan mereka tidak
mengalami kesukaran seperti mana yang dihadapi oleh golongan yang sama tetapi
jantina yang berlainan?
Kita teliti seketika definisi bapa
tunggal. Menurut bapa membawa maksud ayah ataupun ketua di dalam sesebuah
keluarga. Manakala tunggal pula adalah kata sifat yang membawa makna satu,
keseorangan ataupun tidak ada yang lain. Maka, gabungan dua perkataan ini
membawa maksud ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap keluarga mereka
secara keseorangan, tanpa pasangan hidup. Kehidupan berkeluarga tanpa pasangan
hidup boleh dilihat disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya seperti
penceraian, kematian ataupun masalah-masalah lain (terpisah sewaktu saat getir
seperti di masa bencana alam, peperangan dan sebagainya). Disebabkan kehilangan
pasangan hidup, maka insan yang bergelar bapa tunggal ini perlu menjalankan
tugas bapa dan ibu secara serentak.
Umum tahu bahawa untuk menjalankan
tugas sebagai seorang ibu bukanlah senang. Kaum ibu mempunyai kecekalan dan
kesabaran yang tinggi.mereka tabah dalam proses membesarkan anak-anak yang
sememangnya berbagai ragam dan perangai. Ini adalah bersesuaian dengan sifat
seorang wanita yang secara umumnya sebegitu. Namun bagaimana pula dengan bapa?
Bergelar bapa tunggal bukanlah pilihan yang terbaik di dalam sesebuah kehidupan
berkeluarga. Namun, jika itu sudah ditakdirkan, tiada siapa yang mampu untuk
mempersoalkan ketetapan ilahi. Bapa mempunyai sifat yang berbeza jika
dibandingkan dengan seorang ibu. Jika ibu sinonim dengan tugasan dirumah,
menjaga dan mendidik anak-anak, bapa pula sinonim dengan kerja-kerja yang
memerlukan kudrat, kerja berat dan seumpamanya. Tugas bapa adalah menyediakan
nafkah untuk keluarga. Bak kata pepatah di dalam bahasa inggeris, bapa diumpakan
sebagai bread winner kepada seuatu
keluarga.
“Disebabkan kehilangan pasangan hidup,
maka insan yang bergelar bapa tunggal ini perlu menjalankan tugas bapa dan
ibu secara serentak”
|
Di dalam keluarga yang dinahkodai
oleh bapa dan dibantu oleh jurumudi si ibu, manakala anak-anak pula adalah anak
kapal, kehidupan dirasakan senang, aman dan tenteram. Setiap anggota keluarga
mempunyai tugas dan tanggungjawab sendiri. Masing-masing akan menjalankan tugas
masing-masing bagi memastikan bahtera keluarga selamat sampai ke destinasi yang
dituju. Ketiadaan si ibu akan menyebabkan si bapa yang bertanggungjawab untuk
mengetuai keluarga, mencari rezeki dan melindungi keluarga turut perlu
menanggung beban dan tanggungjawab seorang ibu di dalam sesuatu keluarga. Di
dalam situasi ini, si bapa perlu pandai untuk menjadi seorang yang multitasking. Kenapa perlu multitasking?
Ini adalah kerana si bapa bukan sahaja perlu mencari rezeki untuk keluarga, dia
juga perlu mendidik anak-anak supaya jiwa mereka terdidik, diisi dengan
pengetahuan dan kasih sayang supaya tidak ada anasir-anasir luar mampu untuk
menghasut anak-anak kearah kerosakan dan kebinasaan.
Tugas mendidik , menjaga,
menasihati, mengawasi dan melindungi anak-anak tatkala si bapa keluar dari
rumah mencari sesuap rezeki adalah kepakaran seseorang ibu di dalam sesebuah
keluarga. Namun, perpisahan yang tidak diminta akan menyebabkan kesemua tugas
ini akan digalas sepenuhnya oleh si bapa. Dialah yang akan keluar mencari
rezeki, dia jugalah yang akan memastikan anak-anak berada di tempat tidur
masing-masing di waktu malam sebelum lampu dipadam. Beban yang berat ini
sememangnya menguji ketahanan, kesabaran dan keimanan seseorang bapa tunggal.
Sudahlah penat di tempat kerja, ditengking dan diherdik oleh orang atasan yang
hanya tahu kerja mereka perlu disiapkan, apabila pulang ke rumah, tidak pula
boleh berehat lantaran perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Jika dulu si
ibu yang membantu untuk menyelesaikan anak-anak, tapi kini? Semuanya di atas
batu jemala si bapa tunggal sendiri.
Lantaran ketiadaan ‘orang kanan’ di
dalam sesebuah keluarga, bapa tunggal juga mengalami kerumitan di dalam
membesarkan anak-anak dan menjaga keluarga. Keluarga asas yang normal, ataupun
dikenali sebagai keluarga nukleus terdiri daripada dua orang individu utama
iaitu bapa dan ibu dikelilingi oleh anak-anak. Bapa dan ibu adalah ‘nukleus’
ataupun asas di dalam sesebuah keluarga. Ketiadaan salah seorang daripada
mereka sudah tentunya akan menyebabkan ketidakseimbangan berlaku di dalam
keluarga. Si bapa secara semulajadinya bersifat tegas, kasar dan melindungi.
Ketegasan, kekasaran yang bersifat melindungi ini akan menyebabkan wujudnya
jurang diantara bapa dan anak-anak yang masih belum dapat memahami tugas
seseorang dewasa di dalam dunia yang nyata ini. Jurang tersebut akan diisi oleh
sifat kasih sayang dan kelembutan seorang ibu. Ibu memainkan peranan penting di
mana setiap tingkah laku bapa yang tidak difahami oleh anak-anak akan diterangkan
oleh si ibu. Pendekatan yang berlainan inilah akan mewujudkan keseimbangan di
dalam sesebuah keluarga.
No comments:
Post a Comment